Tuesday, October 08, 2013

Singapura: Hari Ketiga

Posted at  Tuesday, October 08, 2013  |  in  Travelog

Hari ini adalah hari ketiga aku berada di Singapura. Baru tiga hari berjauhan dengan keluarga, rindu semakin menebal. Singapura tidaklah jauh sebenarnya dari Kuala Lumpur, tapi memandangkan ia bukanlah bumi Malaysia, maka satu perasaan lain hadir.

Hari ini merupakan hari kedua AACSB Business Accreditation Seminar. Perbincangan kami tetap dalam skop untuk memahami isi kandungan dokumen standard. Ramai peserta seminar yang baru ingin memahami AACSB standard mungkin agak keliru dengan apa yang disampaikan. Dari kalangan institusi yang datang, banyak juga institusi yang baru berkira-kira ingin jadi ahli. Nyata projek ini perlukan komitmen, masa, tenaga dan perancangan sumber kewangan yang mantap. Tambahan pula proses mendapatkan akreditasi AACSB ini mengambil masa yang lama dan perlu perancangan rapi.


Jam 12, kami rehat selama satu jam untuk makan tengahari. Menu hampir sama seperti semalam cuma ditukar kepada nasi goreng. Cukuplah makan untuk mengalas perut.

Jam 4 petang, seminar tiba ke penghujung. Aku tak sempat mengucapkan selamat jalan kepada delegasi UiTM (Dr Jaafar Pyeman) dan UTM (Dr Salbiah). Sambil bergambar kenangan dengan fasilitator dan delegasi universiti lain sempat aku mengucapkan selamat jalan kepada delegasi UniKL. Menariknya, delegasi UniKl iaitu En. Zulkarnian (orang Lambor Kanan) dan Nur Ayuni datang menaiki bas. Kereta mereka ditinggalkan di Johor Bahru.

Selepas solat Asar, aku bergegas dalam pencarian makanan halal. Rujukan untuk mencari restoran makanan halal adalah laman web Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Destinasi yang aku ingin tuju adalah restoran-restoran ayam penyet di Lucky Plaza dan beberapa restoran di ION Orchard. Penat berjalan hampirt 2km ke ION Orchard, restoran Burger King yang aku senaraikan tiada di lokasi, manakala restoran lain yang aku senaraikan semuanya bertulisan Cina dan tidak mempamerkan tanda halal MUIS di depan kedai. Runsing!


Terus aku keluar dari ION Orchard dan menuju ke Lucky Plaza. Dalam perjalanan ke Lucky Plaza aku singgah di Paragon, terdapat beberapa restoran yang diiktiraf MUIS di situ antaranaya Old Chang Kee dan Fish n Co, tapi aku tak ada hari nak makan snek. Terus ke Lucky Plaza, di situ banyak kedai elektronik dan kedai-kedai cenderahati. Banyak juga kedai-kedai Filipino. Terus ke restoran-restoran ayam penyet, namun melihatkan keadaan semua kedai yang agak sesak terus aku tawar hati. Lalu aku berjalan pulang dengan hampa.

Dalam perjalan pulang ke hotel, restoran McDonalds melambai-lambai, namun aku terkenangkan yang McDonalds yang jelas-jelas menyumbang kepada ekonomi musuh-musuh Islam, terus aku batalkan niat untuk membeli McDonalds. Sudahnya, burger Wendy's menjadi santapan makan malam aku. Restoran tersebut memang dalam senarai MUIS dan mempamerkan tanda halal secara jelas di pintu masuk.

Cukup untuk hari ini, lihat gambar untuk tatapan.




Share this post

About Mohd Shafawi Sarbini

Penulis tetap blog ini. Pernah bercita-cita jadi penulis hebat. Jom follow Google+

0 comments:

About-Privacy Policy-Contact us
Copyright © 2013 Thought of Mine. Blogger Template by BloggerTheme9
Proudly Powered by Blogger.
back to top