Allah SWT menganugerahkan peluang secara percuma untuk hamba-hambanya. Kita diminta agar merebut peluang tersebut serta memanfaatkan dengan sepenuhnya. Jika kita cuai atau lalai dari merebutnya, pasti kita akan rugi. Kerana disebalik peluang percuma itu akan muncul pula perkara negatif yang akan menimbulkan penyesalan.
Diriwayatkan oleh At Termizi Dan Muslim Dari Amru Bin Maimun R.A. Bahawa suatu hari Rasulullah S.A.W telah menyampaikan pengajaran kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud :
“ Rebutlah Peluang Lima Perkara Sebelum Datang Lima Perkara”
- Masa Muda Sebelum Datangnya Masa Tua,
- Masa Sihat Sebelum Datangnya Masa Sakit,
- Masa Kaya Sebelum Datangnya Masa Miskin,
- Masa Lapang Sebelum Datangya Waktu Sibuk,
- Masa Hidup Sebelum Datangnya Saat Kematian.
Peringatan itu diberikan oleh Rasulullah S.A.W. Dengan suatu tawaran berfaedah, agar tidak mensia-siakan peluang yang ada secara percuma. Ibarat mendapat harta ghanimah, iaitu keuntungan yang kita dapat tanpa perlu modal, sedangkan orang yang berniaga mendapatkan keuntungan mestilah daripada modalnya.
Masa itu diberi dengan tidak perlu diminta , masa muda jangan dibiarkan berlalu dengan kosong, kerana masa muda itu penuh dengan kecergasan fizikal, dan mental. Carilah ilmu pengetahuan dan pengalaman semasa muda kerana masa muda tidak akan bertahan lama kerana akan tibanya pula masa tua.
Masa tua segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat dan tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun walaupun dihidangkan makanan yang serba lazat. Semasa tua kita sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit sudah lemah dan banyak yang terbatas Semasa itu barulah kita menyedari betapa masa muda itu amat berharga, oleh itu janganlah kita mensia-siakan masa muda yang sangat bererti.
Menyesal kemudian hanyalah suatu kesengsaraan. Masa muda yang diberi oleh Allah S.W.T itu akan ditanya semula di hari perhitungan kelak, kerana usia muda itu bukan sahaja satu anugerah tetapi ia juga suatu amanah yang pasti akan ditanya oleh penganugerahnya.
Setiap masa muda yang dipenuhi dengan perkara-perkara baik dan berfaedah samaada ilmu atau amal pasti akan menjadikan masa tuanya penuh kesyukuran dan kebahagian.
0 comments:
Post a Comment